Naib Ketua Pemuda PAN jadi calon untuk PH di Dun Bayan Lepas

Parti Amanah Negara (PAN) sudah mengumumkan empat orang calon parti serpihan PAS itu yang akan bertanding di negeri Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal muncul tidak lama lagi.

Calon-calon parti PAN itu akan bertanding tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bayan Lepas, Sungai Dua dan Permatang Pasir, serta kerusi Parlimen Kepala Batas.

Bagi DUN Bayan Lepas, Naib Ketua Pemuda PAN Pulau Pinang, Azrul Mahathir Aziz diumum sebagai calon bagi mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.

Pengumuman pencalonan Azrul Mahathir itu dibuat oleh Pengerusi PAN Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa semasa berucap dalam majlis ‘Ceramah Perdana 10 Tahun dan Terus Bersama Kerajaan Pakatan Pulau Pinang’ di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Manakala, di DUN Permatang Pasir, anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Muhammad Faiz Fadzil yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAN Nasional diumum akan bertanding. Sementara seorang peguam, Yusri Ishak pula diletakkan di DUN Sungai Dua.

Pada pilihan raya umum yang lalu, di Sungai Dua dan Bayan Lepas, UMNO- Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan dua kerusi tersebut pada 2013 dengan majoriti masing-masing 357 dan 458.

Di Parlimen Kepala Batas, pakar pediatrik, Dr Zaidi Zakaria yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Harapan Kepala Batas menjadi taruhan PAN untuk bertanding di kawasan Parlimen tersebut dalam PRU nanti.

Bagaimanapun, kesemua kerusi berkenaan bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru selepas BN dan PAS juga turut mengesahkan akan bertanding di kesemua kerusi itu.

PAS sebelum ini telah mengesahkan akan mempertahankan DUN Permatang Pasir yang merupakan satu-satunya kerusi dimenangi parti Islam itu di negeri ini. Parti itu juga mengesahkan tidak akan mencalonkan semula bekas ADUN mereka iaitu Datuk Mohd. Salleh Man. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *