Netizen tak perlu takut jika tak sebar berita palsu

Penyebaran berita palsu atau tidak benar memang boleh mengancam keselamatan negara dan mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Perlaksanaan RANG Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dilihat sebagai langkah tepat untuk mengekang isu penyebaran berita tidak benar.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dalam menggunakan media sosial terutamanya dalam menyebarkan berita palsu atau tidak benar.

Penganalisis politik Edwin Michael, bagaimanapun berkata masyarakat tidak perlu takut dengan perlaksanaan RUU jika tidak menyebarkan berita palsu.

Beliau berkata, penyebaran berita tidak benar di media sosial pada ketika ini memang sangat tidak terkawal dan perlu dibendung.

“Kalau anda tidak terlibat dalam apa-apa unsur penipuan dalam memberikan maklumat ataupun berita yang tidak benar, maka anda tidak mempunyai sebab untuk merasa takut, ataupun tidak senang dengan kehadiran undang-undang ini.

“Dalam konteks politik Malaysia, ini adalah satu keperluan, kemestian kerana kita berada dalam revolusi industri ke 4 atau Forth Industry Revolution yang mana teknologi memainkan peranan dalam komunikasi harian kita.

“Penyebaran berita-berita yang tidak benar dan tidak sahih kebenarannya pada ketika ini adalah sangat tidak terkawal, dan setiap hari, saban hari kita boleh lihat bagaimana, tidak kira ahli politik atau bukan ahli politik dilihat memanipulasi sesuatu berita mengikut pandangan dan ideologi politik mereka ataupun mengikut pandangan parti politik yang mereka sokong,” katanya.

Edwin berkata, orang ramai boleh melayari laman web Sebenarnya.my untuk memastikan berita yang diterima benar atau sebaliknya.

“Kerajaan sebelum ini telah pun melancarkan sebuah laman web, Sebenarnya.my dimana kerajaan menangkis berita-berita fitnah dan memberikan maklumat yang benar tentang apa sebenarnya yang terjadi. Itu juga boleh dijadikan sebagai satu sistem rujukan.

“Bagaimana untuk kita sahkan maklumat adalah dengan mengunjungi laman web-laman web kerajaan yang mana dalam laman web-laman web ini memuatnaik segala laporan-laporan terperinci. Berdasarkan laporan-laporan ini, mereka boleh sahkan maklumat-maklumat yang mereka terima itu benar ataupun tidak,” ujar beliau.

Portal “SEBENARNYA.MY” dilancarkan sebagai langkah untuk membolehkan orang ramai menyemak segala maklumat atau berita yang diterima di media sosial. Portal ini dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *