Nurul Izzah janji peminjam PTPTN tak perlu bayar selagi belum bergaji 4 ribu

Pelajar-pelajar yang berhutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu membayar hutang berkenaan setelah berkerja kecuali selepas mereka bergaji RM4 ribu sebulan, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian dalam satu video yang sedang viral dalam media sosial.

“Kita tahu ramai graduan yang masih lagi mencari peluang pekerjaan.

“Untuk membolehkan mereka tidak terbeban dengan kos ekonomi dan kos kehidupan yang tinggi, maka kerajaan Pakatan Harapan prihatin, akan memastikan peminjam PTPTN hanya perlu membayar semula bila gaji mereka mencecah RM 4 ribu sebulan”, kata Nurul Izzah.

Janji peminjam PTPTN tidak perlu bayar selagi belum bergaji RM4 ribu ini merupakan antara janji yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan dan akan dilaksanakan jika gabungan pembangkang itu berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan cadangan Pakatan Harapan untuk menangguhkan bayaran pinjaman tabung tersebut dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai cadangan yang tidak realistik.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, pembangkang sebelum ini cadang mahu menghapuskan PTPTN, kini cadang pula untuk menangguhkan bayaran pinjaman tabung tersebut.

Beliau berkata, cadangan Pakatan Harapan ini disifatkan hanya pandai berjanji dan tidak berpijak dibumi nyata dalam untuk mendapat sokongan rakyat khususnya menjelang PRU-14 akan datang.

Kata beliau yang Pengerusi Biro Kebajikan UMNO , merujuk kepada realiti semasa, cadangan pembangkang yang telah dikaji PTPTN itu terlalu sukar untuk dilaksanakan.

“Ia lebih kepada gimik politik… cadangan itu lebih bersikap populis dan ia tidak menjamin masa depan PTPTN. Dulu (pembangkang) cadang nak hapus PTPTN, mana mereka nak cari duit, ini cadangan yang hanya mahu menarik undi,” katanya.

Berdasarkan laporan media, Pakatan Harapan mungkin menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN bagi semua graduan yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, dan menghapuskan amalan menyenaraihitamkan peminjam dalam manifesto Pakatan itu.

Tambah Shamsul Anuar, merujuk kepada realiti semasa juga, akan berlaku peningkatan dari segi peminjam yang tidak membayar balik pinjaman jika hal itu dilaksanakan.

Walau apa pun, beliau berkata, PTPTN sudah mempunyai kaedah yang lebih baik daripada apa yang dicadangkan oleh gabungan pembangkang.

“Kita sudah fleksibel dengan membenarkan bayaran balik dibuat bermula bulan ke-13, malah kita boleh lanjutkan tempoh bayar balik selama 24 bulan… pendekatan yang dilaksanakan PTPTN ini lebih realistik walaupun tidak populis,” tambah beliau. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *