‘Nyawa’ Mahathir kini ditangan pengundi Langkawi

Sudah maklum, bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad telah diumumkan sebagai calon yang mewakili pembangkang untuk bertanding di Parlimen Langkawi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999 merupakan kali terakhir bekas perdana menteri keempat itu bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, pengumuman pencalonan Mahathir itu mencetuskan banyak tanda tanya – mengapa calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan itu tidak kembali ke kawasan lamanya di Kubang Pasu.

Untuk rekod, Mahathir merupakan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu dari tahun 1974 hingga tahun 2004.

Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan menyifatkan strategi yang diguna pakai Mahathir sekarang adalah hanya bersandarkan kepada sentimen pengundi sahaja.

Katanya, peluang Mahathir dilihat lebih besar di Langkawi yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sekiranya bersandarkan kepada sentimen penduduk di pulau itu yang sebelum ini memandang tinggi sumbangannya dalam pembangunan di pulau berkenaan.

Namun, beliau berkata, memang benar pembangunan, kemajuan serta kemakmuran pulau itu dibawa Mahathir tetapi Pengerusi Pakatan Harapan itu perlu ingat juga siapa di belakangnya dan parti mana yang mendukungnya semasa itu.

“Jadi, kita lihat strategi yang diguna pakai Tun Mahathir sekarang adalah hanya bersandar kepada sentimen pengundi sahaja…percubaan untuk bermain dengan sentimen pengundi adalah percaturan yang boleh memakan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mahathir dan Pakatan Harapan juga perlu ingat bahawa kehadiran PAS untuk bertanding di pulau itu juga boleh menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan bersama-sama dengan BN.

Tambahnya, apatah lagi parti Islam itu tidak lagi bersama dengan pakatan pembangkang dan kemungkinan untuk berlaku perpecahan undi dalam kalangan penyokong pembangkang adalah sangat tinggi.

Dalam PRU-13 yang lalu, Dato’ Ir. Nawawi Ahmad yang mewakili UMNO-BN berjaya memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib menyifatkan perpecahan pakatan pembangkang hanya akan memberi kelebihan dan kemenangan kepada BN sekiranya tidak ada pengkhianatan dari dalam gabungan parti itu.

Beliau juga mengingatkan BN agar berwaspada dan memandang serius kepada kemampuan Mahathir untuk memenangi hati pengundi Langkawi selain mendampingi ahli-ahli bahagian BN.

“Tun Mahathir sendiri merupakan orang Kedah, mempunyai latar belakang BN di Kedah dan beliau faham apa yang orang Kedah mahukan.

“Jadi, tidak mustahil sentimen Tun itu mampu menarik perhatian pengundi-pengundi di Kedah.

“Akan menjadi masalah kepada BN jika ada ahlinya yang melakukan protes secara senyap. Ancaman dalaman yang antaranya berpunca daripada mereka yang tidak tercalon, perlu juga diberikan perhatian,” katanya.

Tetapi, kata beliau, sekiranya mereka ini setia kepada parti dan kepimpinan parti, bekas perdana menteri keempat itu akan berdepan laluan yang sukar di Langkawi.

“Walaupun Langkawi merupakan kawasan yang maju namun, gaya politik di Langkawi masih bersifat luar bandar.

“Sekiranya calon BN boleh memikat hati pengundi di Langkawi yang masih berpegang kepada konsep kekeluargaan, keharmonian hidup bermasyarakat, dan kemakmuran ekonomi, BN tidak akan menghadapi masalah,” tambah beliau. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *