PAS dakwa DAP ganggu perlaksanaan aspek Islam

PAS mendakwa antara faktor menjadi punca perpecahan Pakatan Rakyat adalah disebabkan sikap parti komponen lain dalam Pakatan itu yang keras penentangan terhadap Islam khususnya parti DAP.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, antara yang keras penentangan terhadap Islam adalah bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, mendiang Karpal Singh.

“Mendiang Karpal pernah terkenal dengan kenyataannya ‘Langkah mayat aku dahulu sebelum laksana Islam,” katanya memetik kenyataan mendiang Karpal suatu ketika lalu.

Beliau berkata, DAP menjadi punca kepada pecahnya muafakat dalam Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

“PAS (ketika itu) bersama dengan permuafakatan politik Pakatan Rakyat dalam suatu aspek yang kita namakan sebagai tahalluf siyasi atau kerjasama politik yang bagi PAS memiliki syarat-syarat tertentu,” ujarnya.

Namun, beliau berkata, timbul pelanggaran terhadap syarat-syarat dalaman terhadap sesuatu permuafakatan politik.

Kata Ahmad Samsuri, antaranya adalah gangguan terhadap kepimpinan yang cuba dibuat oleh parti di luar daripada PAS dalam Pakatan Rakyat seperti mengganggu pemilihan ketika Muktamar Tahunan PAS.

Beliau berkata, DAP juga mengganggu pelaksanaan aspek-aspek keislaman yang mahu dilaksanakan oleh Kelantan yang di bawab pentadbiran PAS.

“Dari masa ke semasa, tidak selesai dengan perbincangan, apabila Kelantan ingin melaksanakan enakmen-enakmen tertentu dan peraturan-peraturan tertentu di peringkat PBT, orang yang pertama menentang adalah DAP.

“Itu dalam keadaan kita memiliki kerjasama di dalam Pakatan Rakyat. Jadi aspek setuju untuk tidak bersetuju tidak berlaku pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjelaskan hubungan antara PAS dan DAP ketika bersama di dalam Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu juga menegaskan bahawa pihak yang sebenarnya memutuskan hubungan dalam Pakatan Rakyat adalah DAP yang menjadi dalang di mana sekiranya diimbas kembali kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media pada 4 Mac 2015 yang menyebut bahawa DAP bersama Pakatan Rakyat menolak Presiden PAS.

“Dato’ Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden PAS, bagaimana mungkin dalam masih ada kerjasama politik mereka membuat suatu kenyataan dan kenyataan ini dibuat dua bulan sebelum Muktamar Tahunan PAS pada 2015.

“DAP bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat tapi tidak dengan Presiden PAS, satu perkara yang sangat pelik.

“Ini dengan sendirinya menunjukkan suatu gambaran cubaan mempengaruhi muktamar PAS,” tambah beliau.

Selain itu, Ahmad Samsuri juga berkata, ia ditambah dengan peristiwa calon PAS yang diminta bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan diminta untuk keluar PAS setelah bertanding yang berlaku dalam PRU-13 yang lalu. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *