PAS P.Pinang mahu majoriti mudah untuk tamatkan dominasi DAP

PAS kali ini berdiri dengan sendiri meletakkan strategi untuk bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusuf sambil memaklumkan PAS Pulau Pinang akan mengumumkan senarai calon bagi PRU-14 pada 19 April ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis himpunan jentera PRU-14 PAS Pulau Pinang dan Amanat Presiden di Masjid Batu, Permatang Pauh, semalam.

“Saya harap kali ini ALLAH beri pertolongan kepada kita dan berjaya menang beberapa Parlimen dan DUN.

“Pada kali ini PAS Pulau Pinang telah mengatur strategi kerana kita sekarang ini tidak bersama lagi dalam PR (Pakatan Rakyat).

“Kita berdiri dengan sendiri meletakkan strategi untuk bertanding lebih banyak kerusi DUN pada PRU-14.

“Sekurang-kurangnya PAS menyasarkan 18 kerusi Dun akan bertanding dalam pilihan raya kali ini bersama-sama dengan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Gagasan Sejahtera,” kata pemimpin PAS itu

Beliau yang merupakan calon untuk DUN Penanti bagi PRU-14, berkata parti Islam itu berharap akan menang dengan majoriti mudah bagi memberi isyarat untuk menamatkan dominasi politik DAP di negeri Pulau Mutiara itu.

“Saya harap semua ini akan memberi keyakinan kepada kita. Di Permatang Pauh, ia adalah kubu kuat bagi PAS suatu ketika dahulu apabila kita pernah memenangi dan menjadi kepimpinan di kawasan ini,” katanya.

Dalam PRU-13 yang lalu, PAS Pulau Pinang hanya menang satu iaitu DUN Permatang Pasir daripada enam kerusi DUN yang ditandingi dan kalah di dua kerusi Parlimen.

Sementara itu, Muhammad Fauzi berkata, pengumuman rasmi senarai calon untuk PRU-14 akan dibuat serentak dengan PAS setiap negeri pada hari yang sama.

“Insya-ALLAH, PAS Pulau Pinang akan buat pengumuman calon serentak seperti mana yang akan dibuat oleh seluruh negara seperti yang diputuskan oleh kepimpinan parti.

“19 April ini saya mengajak semua jentera parti dan rakyat Pulau Pinang ke Pongsu Seribu untuk mendengar pengumuman calon yang akan bertanding dalam PRU-14 akan datang. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *