PAS Perak dakwa dapat 30 peratus sokongan orang melayu

PAS Perak mendakwa parti Islam itu telah mendapat 30 peratus undi orang Melayu di negeri berkenaan dan hanya memerlukan antara lima sehingga 10 peratus lagi bagi membolehkan parti itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, pihak beliau akan bertanding di semua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana 45 daripada calonnya telah dikenal pasti.

Manakala baki 14 lagi, beliau berkata ia diserahkan kepada parti di dalam Gagasan Sejahtera.

Dalam pilihan raya lalu, semasa masih berada di dalam Pakatan Rakyat, PAS Perak hanya bertanding 22 kerusi DUN manakala lapan kerusi Parlimen.

Di samping itu, beliau juga berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diwartakan baru-baru ini memberi kelebihan kepada parti Islam itu.

Kata Razman, hasil propaganda Pakatan Harapan sebelum ini, pengundi masyarakat Cina telah mula ‘takut’ dengan parti Islam itu.

“Harap orang Melayu akan sokong PAS, dan bukan Melayu faham perjuangan PAS dan boleh bersama-sama dengan PAS memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Buat masa tempoh yang terdekat ini, kira kita rasa kecewalah di atas itu, jadi persempadanan semula ini InsyaAllah memberi kelebihan kepada PAS dan kita yakinlah dengan keadaan ini, kita boleh mendapat sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk memerintah negeri Perak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) PAS Perak dan Gagasan Sejahtera, di Ipoh, baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai manifesto PAS Perak yang bertemakan ‘Perak Sejahtera Rakyat Sejahtera’, Razman berkata, penyediaan manifesto itu memakan masa yang lama kerana memerlukan kajian mendalam, merangkumi seluruh rakyat negeri itu dan berdasarkan kemampuan yang ada. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *