Pelajar melampau didalam kawasan sekolah akan dikenakan tindakan tegas

Isu buli seperti tiada kesudahan dan sudah semakin serius. Isu ini perlu dibendung dengan segera untuk mengelakkan gejala buli ini semakin terus berleluasa.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata pihak kementerian akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pelajar yang bertindak melampaui batas sehingga memberi kecederaan dalam kawasan sekolah.

Beliau turut mengulas mengenai video tular di media sosial sekumpulan pelajar memukul salah seorang rakan meraka dengan alasan menyambut hari lahir.

Katanya, pelajar sekolah cukup mudah terpengaruh dan melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kecederaan.

“Perbuatan pelajar yang tular baru-baru ini bukanlah budaya kita. Tetapi, mereka ini mudah terpengaruh sehingga melampaui batas dan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kecederaan.

“Kita akan ambil tindakan kepada semua pelajar yang berkelakuan melampaui batas dan dilihat menyalahi peraturan yang ditetapkan,” katanya

Selain itu, Woon juga berharap pelajar sekolah tidak terlalu mudah terpengaruh dengan budaya negatif di laman sosial.

Jelasnya, guru juga memainkan peranan penting dalam meneliti perlakuan murid-murid dari unsur-unsur negatif.

“Saya juga menyeru kepada guru-guru di sekolah agar memberikan penelitian terhadap perlakuan murid-murid. Mereka juga disarankan untuk menekankan unsur-unsur budaya kita semasa perhimpunan.

“Tanggungjawab mereka bukan hanya mengajar, tetapi perlu juga lihat cara pelajar bergaul di sekolah. Disebabkan itu kita ada program rakan sebaya di mana pelajar itu sendiri menjadi mata dan telinga kepada guru-guru dalam menangani perkara sebegini,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *