Pengerusi PPBM P.Pinang bertanding atas tiket PKR di Parlimen Tasek Gelugor

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah mengumumkan senarai nama calon parti berkenaan yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusi PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahya akan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen di Tasek Gelugor.

Marzuki Yahya membuat pengumuman itu sendiri semasa dalam satu majlis yang diadakan di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah, semalam.

Selain itu, pada majlis sama, Marzuki turut mengumumkan empat lagi calon parti itu di negeri ini iaitu Ketua Penerangan PPBM Pulau Pinang, Yaakob Osman yang akan bertanding di kerusi DUN Penaga, ahli perniagaan, Khalid Mehtab Ishaq di DUN Bertam dan peguam, Zulkiply Md Lazim di DUN Telok Bahang.

Manakala, bekas Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Shariff Omar pula diumum untuk bertanding di kerusi DUN Permatang Berangan.

Sementara itu, Pengarah Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar mengulas mengenai keputusan percalonan Mohd Shariff yang akan bertanding di kerusi DUN Permatang Berangan dalam PRU nanti.

“PPBM (PKR) meletakkan Shariff Omar, Pengerusi Tetap PPBM yang telah dibubarkan sebagai calon di DUN N4 Permatang Berangan.

“Shariff Omar pernah bertanding sebagai calon Bebas di N5 Sungai Dua dan P042 Tasek Gelugor pada PRU-13 lalu.

“Bagaimanapun beliau telah hilang deposit dalam PRU-13.

“Kalau PRU lepas hilang deposit, boleh bertanding lagikah pada PRU berikutnya? Calon PRU hilang deposit jika gagal dapat 1/8 jumlah undi,” katanya menerusi catatan di media sosial Facebooknya.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani I itu pernah menjadi ADUN Sungai Dua selama berapa penggal dan Ahli Parlimen Tasek Gelugoq sebanyak dua kali.

Umum mengetahui, parti PPBM telah diarahkan agar dibubarkan sementara berikutan penubuhannya tidak menepati undang-undang pendaftaran pertubuhan.

Parti itu gagal menyerahkan dokumen dalam tempoh yang diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

PPBM ditubuhkan pada 8 September 2016 yang diterajui oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Parti itu bakal bergabung dengan DAP, PAN dan PKR dalam pilihan raya kali di bawah Pakatan Harapan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *