Penyokong Pakatan harus ingat siapa yang tangkap Mat Sabu dan Anwar Ibrahim

Bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad cuma tahu menuding jari kepada pihak lain sahaja bagi menutupi kesalahan yang dibuatnya, kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan itu tubuh parti (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)) tidak mengikut perlembagaan sehingga ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Namun, Tun Mahathir tuduh pegawai ROS adalah orang saya. Begitu juga peristiwa Memali, salah siapa?

“Mohamad Sabu (kini Presiden Parti Amanah Negara) ditangkap di bawah ISA dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mata lebam, salah siapa?

“Namun hari ini, Tun Mahathir mendakwa dia tidak pernah tangkap sesiapa tanpa ada rasa bersalah. Saya boleh kata Tun Mahathir pelakon nombor satu dan individu seperti ini tidak boleh dipercayai,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di Kota Bharu, semalam.

Dalam pada itu, Najib juga berkata, bekas perdana menteri keempat itu ‘bermuka tebal’ apabila membuat ‘U-Turn’ untuk mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini didakwanya sebagai ‘dedak’, sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, tindakan Mahathir dan Pakatan Harapan yang mahu mengekalkan bantuan itu jika berjaya membentuk kerajaan, kerana mereka menyedari rakyat negara ini memerlukan bantuan BR1M.

“Dulu, Tun Mahathir kata pemberian BR1M adalah dedak dan ramai rakyat marahkannya. Namun, hari ini menerusi manifesto pakatan, mereka membuat pusingan U apabila mengekalkan pemberian BR1M jika diberi mandat.

“Tidak payahlah ciplak kita punya. Pemberian BR1M adalah inisiatif BN, tebalkan muka dia (Tun Mahathir),” tambah Perdana Menteri. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *