Perkeso bayar RM 111’000 kepada 185 permohonan SIP di P.Pinang

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) adalah pelengkap jaringan keselamatan sosial bertindak membantu pekerja terutamanya yang telah kehilangan pekerjaan. Pekerja yang hilang pekerjaan akan diberikan bantuan kewangan segera bagi menampung kehidupan sementara mereka mencari pekerjaan baharu.

Sistem ini mula dilaksanakan 1 Januari 2018 lalu, majikan dan pekerja dikehendaki mencarum iaitu 0.2 peratus daripada anggaran gaji pekerja.

Terkini, sebanyak 185 daripada 307 permohonan untuk mendapatkan bantuan interim di bawan SIP telah diluluskan di Pulau Pinang sehingga 30 Mac lalu melibatkan bantuan berjumlah RM111,000.

Pengarah Perkeso negeri, Othman Mohd. Nordin menasihati orang ramai terutamanya pencarum yang kehilangan pekerjaan kerana diberhentikan atau operasi syarikat tutup untuk buat tuntutan dalam tempoh 60 hari untuk mengelakkan permohonan mereka tidak dapat diproses.

“Bagaimanapun, mereka (pencarum) perlu mencarum sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum dianggap layak membuat tuntutan berkenaan,” katanya.

Selain itu, Othman juga berharap majikan dan pekerja negeri ini dapat mendaftar dan mencarum di bawah SIP seperti yang telah diperuntukkan di bawah Akta SIP 2017 atau Akta 800.

“Kami (Perkeso) juga amat mengalu-alukan cadangan atau penambahbaikan untuk memantapkan pengoperasian SIP ini,” katanya.

Mengikut rekod sudah terdapat 4,586 permohonan untuk menuntut bantuan interim di bawah SIP telah diterima di seluruh negara sehingga 31 Mac lalu. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *