PKR Bayan Baru bergolak bila secara terbuka tolak Sim Tze Tzin

Semua maklum, kerusi Parlimen Bayan Baru kini disandang oleh Pengarah Strategik PKR, Sim Tze Tzin. Bagaimanapun, mungkin Tze Tzin tidak dapat mempertahankan kerusi berkenaan lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Ini ekoran selepas PKR Bayan Baru menolak dan tidak mahu Pengarah Strategik PKR itu menjadi calon sebagai Anggota Parlimen lagi di kawasan tersebut dalam pilihan raya akan datang.

Penolakan itu atas 16 faktor kesilapan yang telah dilakukan oleh Tze Tzin. Ini dapat dilihat menerusi satu surat yang dihantar kepada Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam surat berkenaan menunjukkan AJK Cabang dan Pengerusi-pengerusi JKKK Parlimen Bayan Baru tidak berpuas hati dan menyenaraikan 16 sebab penolakan Tze Tzin sebagai calon PRU pada PRU-14 yang semakin hampir.

Mereka mendakwa Tze Tzin seorang yang mengamalkan perkauman di mana beliau hanya mementingkan kaum Cina sahaja, selain mendakwa beliau sering tidak hadir dalam program dan hanya memilih program yang disukainya sahaja.

Selain itu, Tze Tzin juga didakwa membuat keputusan tanpa perbicangan dan membelakangkan keputusan mesyuarat Cabang dan memilih kroni tertentu untuk melaksanakan kerja-kerja parti dan lain lain.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga dikatakan sudah hilang rasa hormat terhadap Tze Tzin. Nampaknya PKR mengalami pergolakkan serius apabila PKR Bayan Baru secara terbuka menolak Tze Tzin. PKR dibelenggu masalah dalaman parti apabila berlaku pergolakkan ini.

Tidak cukup dengan masalah pergolakkan ini, PKR sebelum ini juga menerima tekanan dan dijangka akan menghadapi cabaran lebih sukar untuk menawan kerusi Parlimen Balik Pulau, apatah lagi selepas bekas rakan sekutunya iaitu PAS telah mengumumkan akan meletak calonnya di kerusi berkenaan dalam PRU akan datang.

Apa yang membuat PKR lebih gelisah dan bimbang apabila parti Islam itu menerusi Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Balik Pulau, Taufik Hashim mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong dan Teluk Bahang yang ditandingi PKR sebelum ini yang kalah kepada Barisan Nasional (BN).

Pengumuman itu dibuat pada ceramah di Markas PAS Sungai Burung sebelum ini yang dilihat akan memberi tamparan besar kepada parti yang diterajui Wan Azizah itu. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *