Politik Mahathir akan berkubur di Langkawi selepas PRU14 #SinsOfMahathir #DosaDosaMahathir

Semalam, terjawab sudah teka-teki di mana Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, akan bertanding apabila diumum sebagai calon pembangkang untuk kerusi Parlimen Langkawi dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada majlis Jelajah Harapan Langkawi di Padang Mat Sirat, semalam.

Wan Azizah juga cuba menggambarkan Mahathir adalah penyumbang ‘terbesar’ membangunkan Langkawi.

“Orang Langkawi sedar, Tun Dr Mahathir adalah penjana kepada pulau yang dahulunya pernah lesu.

“Atas jasanya sebagai bapa pembangunan Langkawi, beliau akan terus berjasa untuk selamatkan Malaysia,” kata Wan Azizah.

Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999 merupakan kali terakhir bekas perdana menteri keempat itu bertanding dalam pilihan raya.

Mengulas mengenai Mahathir akan bertanding di Langkawi, bekas pengasas PPBM, Anina Saadudin menyifatkan calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan itu umpama Panglima Portugis, Alfonso De Albuquerque yang menjajah Melaka pada tahun 1511 dengan tujuan hakiki untuk meraih segala kekayaan hasil bumi di negeri itu pada ketika itu.

“42,000 pengundi yang mewakili 90 ribu rakyat Langkawi adalah saudara mara dan sahabat-sahabat saya dari kecil.

“Ketiga-tiga calon Barisan Nasional untuk Parlimen Langkawi, Dun Ayer Hangat dan Dun Kuah juga adalah anak-anak Langkawi yang lahir dan membesar di Langkawi. Kami semua bersaudara.

“Dalam menentang pencerobohan Mahathir kali ini, beliau perlu melanggar tembok persaudaraan dan persahabatan kami dan perlu saya ingatkan bahawa ianya sekukuh Gunung Machincang dah Gunung Raya yang memasak hati kami dengah kasih sayang dan cinta pada tanah pulau ini,” katanya dalam catatan Facebook miliknya.

Bekas Ketua Srikandi PPBM itu juga berkata, Mahathir cuba menawan Langkawi dengan menggunakan orang-orang yang kecewa dalam UMNO serta saki-baki ahli PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) yang terpedaya dengan perompak dari tanah seberang ini.

“Ahli PPBM Langkawi cuma tidak sampai 1,000 orang. Mahathir tidak pernah menghiraukan mereka sehinggakan pejabat PPBM juga tidak wujud di sana.

“Perompak tidak perlukan pejabat. Datang berceramah, fitnah pemimpin, tipu rakyat dengan niat untuk menjadi penjajah di pulau ini,” tambah beliau.

Tambah Anina yang juga Presiden Empirical Malaysia (EM) , sebahagian besar kawasan pantai indah di Langkawi telah ‘dirompak’ oleh Mahathir dengan membina hotel-hotel lima bintang tanpa mempedulikan kepentingan anak jati Langkawi.

“Bayangkan bagaimana pulau dengan keluasan 47,848 hektar dengan 25 kilometer panjang utara ke selatan dan lebih kurang 30 kilometer timur ke barat, hanya memperuntukkan satu kilometer pantai untuk anak tempatan beriadah disebabkan ianya sudah dijadikan private beach untuk hotel-hotel 5 bintang,” katanya

Selain Mahathir, anaknya yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mukhriz, diumum sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan Parlimen Jerlun. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *