Portal Penghakiman diwujudkan untuk beri akses kepada orang ramai

Terkini, orang ramai nampaknya sudah mempunyai akses terhadap segala keputusan dan penghakiman dilakukan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan selepas wujudnya Portal Penghakiman Malaysia.

Portal itu diwujudkan sebagai satu usaha untuk memastikan ketelusan sistem kehakiman negara dan orang ramai boleh mengaksesnya.

Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif menjelaskan menerusi portal www.judgements.my, segala keputusan dan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan akan dimuat naik dalam tempoh 48 jam sebaik selesai prosiding.

Beliau berkata, portal itu juga boleh diakses oleh orang ramai tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Katanya, dengan memberikan akses kepada orang ramai kepada maklumat perundangan juga adalah bukti kematangan sesebuah masyarakat demokratik.

“Dengan wujudnya portal penghakiman ini, Malaysia meletakkan tanda aras baharu kepada ASEAN dalam pengumpulan dan penyebaran bahan perundangan.

“Akses kepada maklumat perundangan adalah tanda kematangan sebuah masyarakat demokratik terutama dalam bidang hak asasi manusia, yang menyatakan bahawa keputusan dan prosiding mahkamah perlu diakses oleh masyarakat umum,” katanya.

Raus berkata, segala keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dari 1 Januari 2017 akan dapat diakses di portal terbabit.

“Dengan wujudnya portal ini, diharap kritikan tidak berasas terhadap keputusan mahkamah akan berkurangan.

“Orang ramai juga boleh meningkatkan pengetahuan serta pemahaman undang-undang dan menghargai alasan dalam penghakiman yang dilaporkan sebelum membuat kesimpulan sendiri,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *