PPBM P.Pinang tak puas hati larangan guna gambar Mahathir di poster kempen

Selepas DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang pula meluahkan rasa tidak berpuas hati dan berang dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang Pakatan Harapan menggunakan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal muncul tidak lama lagi.

Pakatan Harapan terus mempertikaikan arahan SPR ini, malah menganggap arahan itu kononnya hanya mahu memberikan tekanan kepada pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PPBM, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) menjelang PRU akan datang.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed menyifatkan keputusan yang dibuat oleh SPR itu kononnya melucukan, selain cuba kaitkan dengan Barisan Nasional (BN).

Kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Sungai Dua itu, tidak pernah ada arahan larangan memaparkan gambar pengerusi mana-mana parti sebelum ini.

“Sebenarnya Barisan Nasional (BN) sedar sekiranya gambar dan poster Tun Mahathir dipaparkan ia mampu mempengaruhi pengundi,” dakwanya.

Selain itu, Setiausaha Parti PPBM Tasek Gelugor itu juga yakin tsunami Melayu akan berlaku dalam PRU-14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

Beliau juga cuba menuding jari kepada BN berkaitan pembubaran PPBM untuk sementara, sedangkan pembubaran PPBM sementara itu berpunca kesilapan mereka sendiri yang gagal menepati syarat asas daftar pertubuhan.

“Selepas mereka melarang poster Tun Mahathir dipaparkan, kini mereka cuba sekali lagi dengan membubarkan PPBM untuk sementara.

“Kemudian mereka tidak luluskan pendaftaran Pakatan Harapan walaupun permohonan telah dibuat begitu lama.

“Yakinlah bahawa tsunami Melayu kali ini akan mampu membawa perubahan yang amat besar sehingga mengejutkan UMNO dan BN tidak lama lagi,” katanya.

Sudah jelas Pakatan Harapan gagal didaftarkan hanya kerana kegagalan PPBM mengikut arahan termasuklah melanggar peruntukan perlembagaan parti sendiri. Namun Pakatan Harapan terus cuba menuding jari kepada pihak lain yang kononnya menjadi punca kegagalan pakatan pembangkang itu gagal didaftarkan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *