Projek PICC di Bayan Baru bakal akibatkan kesesakan teruk

Kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang terutamanya di kawasan pulau bukannya perkara baru lagi, sebaliknya ia terpaksa dihadapi penduduk negeri Pulau Mutiara itu setiap hari.

Namun Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng seolah-olah tidak pandang serius dengan masalah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat negeri berkenaan, sebaliknya cuba menambahkan lagi kesesakan lalu lintas.

Jadi, memang wajarlah apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa mengambil langkah untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas terlebih dahulu jika mahu melaksanakan projek Pembangunan Bersepadu Bandar Raya Komersial Pulau Pinang (PICC) di Bayan Baru yang dilihat bakal akibatkan kesesakan teruk.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata trafik di kawasan berkenaan sangat teruk dan sesak, namun Kerajaan DAP Pulau Pinang telah meluluskan projek mega tanpa merancang untuk menangani masalah itu terlebih dahulu.

“Tanpa cara menyelesaikan masalah, kesesakan lalu lintas akan bertambah buruk apabila projek itu selesai, selain lebih daripada 10,000 isi rumah yang akan berpindah ke sana.

“Saya cadangkan kerajaan negeri melakukan kajian komprehensif mengenai rancangan pembangunan berskala besar ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pemimpin GERAKAN itu juga menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang mengarahkan pemaju projek itu untuk mengemukakan penilaian kesan alam sekitar dan laporan lalu lintas kepada Kementerian Alam Sekitar dan jabatan yang berkaitan.

Projek PICC itu, yang terletak di atas tanah seluas 17.4 hektar, akan dibina dalam tiga fasa dan termasuk pusat membeli-belah, pusat perubatan, hotel, pangsapuri, pejabat dan institusi pengajian tinggi antarabangsa. Projek mega berkenaan dijangka siap pada tahun 2026. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *