Rakyat harus bersyukur dengan kos pendidikan hampir percuma di Malaysia

Banyak inisiatif yang telah diberikan kerajaan kepada rakyatnya melibatkan pendidikan. Malah, boleh dikatakan kos pendidikan di Malaysia sudah hampir di tahap percuma apabila sebanyak 90 peratus kos pendidikan telah ditanggung oleh kerajaan.

Namun begitu, masih terdapat sesetengah pihak yang mahu segala perbelanjaan pendidikan dilaksanakan secara percuma sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, rakyat harus memahamai tentang hakikat jika mahu pendidikan dilaksanakan secara percuma sepenuhnya terdapat pihak lain yang terpaksa memikul tanggungjawab membayar segala perbelanjaan itu.

Beliau berkata, memang terdapat sesetengah negara yang menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya tetapi rakyat akan dibebani dengan Cukai Barangan Perkhidmatan (GST) yang jauh lebih tinggi berbanding dengan negara ini yang hanya menetapkan sebanyak enam peratus.

Selain itu, jelasnya kerajaan tetap prihatin dengan kemampuan rakyat dan berusaha untuk membantu rakyat dengan menyediakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 200,000 pelajar selain biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sebelum ini, seorang mahasiswa Mohamad Reeza Abd. Patah mengucapkan rasa syukur mempunyai sebuah kerajaan yang menyediakan kos pendidikan antara yang termurah di dunia dan boleh dikatakan hampir percuma.

“Bayangkan saja, yuran pengajian Kursus Kejuruteraan di Scotland, United Kingdom selama empat tahun adalah RM450,000 sedangkan di Malaysia untuk tempoh yang sama, hanyalah RM8,900.

“Yuran pengajian bidang perubatan di Moscow, Rusia pula kira-kira RM400,000 untuk tempoh enam tahun, manakala di Malaysia hanya RM15,000,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *