Semakan maklumat pengundi secara ‘online’ lebih mudah

Tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Mei (Rabu). Manakala, tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 28 April (Sabtu) dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei (Sabtu).

Tinggal beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan mula mengundi pastinya ramai yang sudah mula sibuk untuk menyemak maklumat pusat mengundi masing-masing.

SPR menerusi kenyataan memaklumkan semua pemilih berdaftar hanya perlu membuat semakan maklumat lengkap mereka secara atas talian atau ‘online’ sahaja.

Semakan itu boleh dibuat menerusi pelbagai saluran antaranya aplikasi mudah alih MySPR Semak yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store secara percuma.

Bermula April 16 pemilih berdaftar juga boleh menyemak melalui pautan pengundi.spr.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu menghantar mesej ke talian 15888 dengan menaip SPR nombor kad pengenalan.

Selain itu, pemilih berdaftar juga boleh melakukan semakan dengan menghubungi talian 0388927018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri.

Sementara itu, Nur Fazreena Razali, 28 berkata semakan secara online dilaksanakan pihak SPR ini ternyata lebih memudahkan pemilih berdaftar.

“Ini adalah kali pertama saya membuat semakan pusat mengundi menerusi dalam talian (online) dan ternyata ia lebih mudah dan cepat.

“Semua maklumat terperinci tersedia dalam sistem berkenaan termasuk lokasi, saluran serta masa mengundi dan saya hanya perlu mengambil gambar salinan skrin (screenshot) sebagai rujukan pada hari mengundi kelak.

“Tidak perlu lagi hadir ke mana-mana pejabat atau menunggu surat yang dihantar ke rumah bagi mendapatkan maklumat mengenai pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Nur Atikha Shobri, 26, berkata, semakan online ini memudahkan semua pemilih berdaftar untuk mengetahui lokasi mengundi memandangkan selepas persempadanan semula berlaku perubahan nama kawasan Parlimen dan DUN.

“Semakan dalam talian juga membantu saya untuk tidak tercari-cari di mana hendak membuang undi pada 9 Mei depan dan kita boleh merancang perjalanan untuk ke tempat mengundi,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *