Senarai calon Pakatan diumumkan pada 26 April

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata senarai calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diumumkan pada 26 April ini.

Pengumuman senarai calon Pakatan Harapan yang akan bertanding dalam pilihan raya umum nanti itu diumumkan selepas mesyuarat kepimpinan pada 25 April ini.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, berkata beliau masih meneliti ciri-ciri dan teknikaliti calon yang akan bertanding dalam PRU-14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

“Saya seorang yang sign (tandatangan) untuk semua calon-calon, jadi mereka harus hadir untuk mendengar taklimat pada 25 April nanti.

“Saya dan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi amanat terakhir sebelum mereka diumumkan sebagai calon PRU-14,” kata isteri bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam satu kenyataan.

Sudah maklum, Pakatan Harapan sebelum ini menolak pelawaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad kepada parti-parti politik agar menyerahkan senarai nama bakal calon pilihan raya umum nanti kepada suruhanjaya itu untuk disaring.

Wan Azizah berkata para calon Pakatan Harapan tidak akan menjalani saringan pihak pencegahan rasuah negara itu seperti mana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Hanya BN yang menghantar senarai calon PRU-14 kepada SPRM bagi disaring untuk memastikan mereka bersih daripada amalan rasuah.

Mengulas mengenai keenggan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin untuk bertanding di Selangor, Wan Azizah berkata hal itu belum diputuskan lagi.

“Kami ada jawatankuasa saringan untuk menentukan siapa yang sesuai bertanding, kami belum menentukan lagi…tunggulah sampai mesyuarat pada 25 April nanti,” katanya.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 28 April sebagai tarikh penamaan calon, manakala 5 Mei untuk pengundian awal dan 9 Mei sebagai hari pengundian untuk PRU-14. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *