Siapa mampu beli rumah harga RM 300-400 ribu di P.Pinang?

Sejak DAP memerintah negeri Pulau Pinang pada tahun 2008, Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng hanya menyediakan rumah tidak mampu milik dan hanya ‘mampu tengok’ sahaja kepada rakyat.

Menurut Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Jason Loo, dalam tempoh dua penggal DAP memerintah, kerajaan DAP negeri dan pemaju swasta membina 82 peratus rumah mampu milik, tetapi cuma 18 peratus daripadanya adalah kediaman kos rendah dan sederhana.

“Dasar perumahan kerajaan negeri menetapkan kediaman mampu milik di Pulau Pinang adalah pada harga antara RM300,000 dan RM400,000 seunit.

“Kajian menunjukkan 49 peratus rakyat Pulau Pinang memperoleh pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan.

“Bagi mereka yang memperoleh pendapatan isi rumah RM8,000, mereka hanya mampu membeli rumah yang berharga RM200,000,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata Jason, dasar perumahan yang tidak mampu milik itu menjelaskan mengapa 69.3 peratus penduduk negeri Pulau Mutiara itu berpendapat rumah mampu milik di negeri berkenaan masih tidak mampu dibeli.

Mendengar keluhan dan prihatin dengan nasib rakyat, BN menunjukkan komitmen untuk merealisasikan setiap hasrat rakyat negeri Pulau Mutiara itu mempunyai kediaman sendiri, sekiranya parti itu diberi mandat untuk mentadbir negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Jason berkata, menawarkan rumah mampu merupakan antara insentif utama yang ditawarkan dalam Manifesto BN Pulau Pinang yang bertemakan ‘Selamatkan Pulau Pinang’.

Kata beliau, BN Pulau Pinang akan memastikan setiap pemaju membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah kos rendah dan sederhana dalam setiap projek mereka laksanakan.

Tambah beliau, harga jualan bagi rumah kos rendah juga akan ditetapkan pada RM40,000 seunit.

Manakala, kata pemimpin Pemuda BN Pulau Pinang itu, rumah kos sederhana rendah pula antara RM80,000 dan RM120,000, selain pemaju wajib menyediakan satu unit tempat letak kereta untuk kedua-dua jenis kediaman terbabit. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *