Tangkapan nelayan susut 80 peratus selepas projek penambakan laut DAP

Projek tambakan laut yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan DAP menyebabkan bekalan ikan kembung di negeri Pulau Mutiara itu menyusut lebih 80 peratus sejak dua tahun lalu.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Nazri Ahmad, kawasan projek tambakan laut yang dijalankan itu memberi kesan dan mengganggu ekosistem kehidupan laut khususnya bagi ikan kembung yang menjadi pilihan utama rakyat.

Kata beliau, ini kerana ia adalah tempat haiwan berkenaan bertelur dan membiak.

Nazri Ahmad berkata, kawasan projek tambakan laut yang dijalankan itu juga merupakan kawasan terkenal bagi menangkap ikan kembung.

Selain memberi kesan kepada golongan nelayan kecil, beliau berkata, ia juga memberi kesan kepada orang ramai kerana harganya melambung tinggi.

“Sebelum ini ikan (kembung) boleh dibeli dengan harga tidak sampai RM10 sekilogram.

“Namun sejak dua tahun lalu, harga ikan kembung iaitu ikan yang menjadi pilihan utama kita telah mencecah hingga RM20 sekilogram dan paling murah pun RM15 sekilogram di pasaran.

“Bukan nelayan sengaja mahu menaikkan harga sebaliknya kalau dulu boleh dapat sehingga 100 kilogram sekali turun ke laut namun sekarang hendak dapat 20 kilogram pun susah,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang itu juga berkata, projek tambakan laut itu juga menyebabkan bot dan enjin serta peralatan menangkap ikan nelayan rosak sehingga terpaksa menanggung kos tinggi untuk dibaiki semula. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *