Tawan kembali lima kerusi DUN jadi fokus UMNO P.Pinang di PRU14

UMNO Pulau Pinang kini memberi tumpuan untuk merampas kembali lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dimiliki Pakatan Harapan dan PAS, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal muncul tidak lama lagi.

Selain mengekalkan 10 kerusi sedia, menurut Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, UMNO Pulau Pinang optimis dapat merampas kembali kelima-lima kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Lima kerusi yang disasarkan oleh UMNO Pulau Pinang itu ialah kerusi DUN kawasan Batu Maung, Sungai Bakap, Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

“UMNO gagal pertahankan kerusi DUN Seberang Jaya pada PRU-13 yang lalu, manakala selebihnya pada PRU-12,” kata Jahara.

Sementara itu, Jahara juga tidak menolak kemungkinan untuk bertanding dalam PRU-14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Beliau berkata, keputusan untuk kekal bertanding di kerusi DUN Telok Air Tawar dilakukan jika ada keperluan mendesak atau menerima permintaan khusus daripada parti.

“Saya tengok dulu, kalau diminta juga oleh parti dan saya akan pertimbangkan. Bagaimanapun, biarlah ia (kekal bertanding) menjadi keputusan terakhir yang dimuktamadkan parti.

“Saya ada dengar cakap-cakap yang nama saya masih dicalonkan untuk bertanding di kerusi Teluk Air Tawar, tetapi kalau ada muka baharu, dahulukan calon berkenaan.

“Saya kalau boleh nak berehat selepas lima penggal berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang. Sudah tiba masa saya untuk menjadi mentor kepada muka baharu pula,” katanya.

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang itu sebelum ini mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Telok Air Tawar yang disandangnya sejak tahun 1999 bagi membuka laluan kepada calon muda di kawasan berkenaan untuk bertanding pada pilihan raya kali ini. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *