Terowong Dasar Laut P.Pinang akan tambahkan kesesakan di bahagian Pulau

Ramai pihak membantah projek mega pembinaan terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana ia membazir dan memberi kesan teruk kepada alam sekitar serta tidak menguntungkan rakyat negeri Pulau Mutiara itu. Sebenarnya tidak ada keperluan pun kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan satu lagi ‘kemudahan asas’, yang akhirnya dilihat hanya memberi keuntungan kepada pemaju sahaja.

Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang berdegil mahu meneruskan projek terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion itu akan memberi impak besar kepada negeri berkenaan dalam tempoh jangka panjang. Walaupun Kerajaan DAP mendakwa pembinaan terowong ini mampu menyelesaikan masalah kesesakan di Pulau Pinang, namun sebenarnya ia hanya akan menambahkan lagi kesesakan di negeri itu terutamanya di bahagian pulau.

Ini juga akan menyebabkan rakyat Pulau Pinang akan terus tertekan kerana terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari di pulau yang kecil itu.

Sekarang ini pun sudah terlalu banyak kereta di negeri Pulau Mutiara itu. Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya memberi keutamaan dengan memikirkan bagaimana mahu mengurangkan kenderan yang kini semakin menambah di Pulau Pinang, dan bukannya menambah lagi kenderaan dengan membina terowong dasar laut.

Negeri Pulau Mutiara kini telah berlaku banyak pencemaran hingga menyebabkan negeri itu bukan lagi menjadi sebuah pulau yang bersih dan aman. Meskipun kerajaan negeri tidak boleh hadkan pembelian kenderaan, tetapi sekurang-sekurangnya mereka boleh mengawal jumlah kenderaan di Pulau Pinang.

Sepatutnya Kerajaan DAP Pulau Pinang meningkatkan per­khidmatan pengangkutan a­wam seperti feri dan bas yang lebih murah dan selamat, selain be­kerjasama dengan syarikat pe­nerbangan tempatan bagi menambah bilangan penerbangan ke Pulau Pinang.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sewajarnya menyediakan pelbagai alternatif bagi meng­urangkan kesesakan di di negeri itu yang dilihat semakin teruk dan bukannya hanya bergantung sepenuhnya dengan membina terowong dasar laut yang kini masih tidak nampak rupa terowong.

Sekiranya memang perlu membina laluan ketiga dan keempat sekali pun untuk masuk ke negeri Pulau Mutiara itu, ia perlu mengambil kira jenis laluan berkenaan sama ada jambatan mahupun terowong, bergantung pada peruntukan kewa­ngan dan kesan kepada ekosistem.

Walau apa pun, pembinaan terowong dasar laut adalah rumit kerana bukan sahaja mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan malah memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar berbanding membina jambatan. –Utaranews.com 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *