Tolak DAP jika sayangkan Syariat Islam

Rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam harus menolak parti DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi, sekiranya sayangkan syariat Islam.

Menurut Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang, ini kerana parti Roket itu paling lantang menolak dan membantah pelaksanaan syariat Islam yang mahu dilakukan oleh PAS.

“DAP awal-awal menentang pelaksanaan syariat, menentang Islam, menentang Rang Undang-undang 355 (RUU355), menentang pelaksanaan Islam di Kelantan, di Terengganu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Presiden PAS itu berkata demikian dalam Program Himpunan Jentera PRU-14 PAS Negeri Pulau Pinang dan Amanat Presiden PAS, semalam.

“Dia ungkit padahal Perlembagaan mengatakan ini hak orang Islam. Orang bukan Islam tak dikacau, mengapa dia kacau orang Islam,” kata Abdul Hadi.

Orang nombor satu PAS itu merujuk kepada sikap parti Roket itu dalam isu Rang Undang-undang Akta 355 (pindaan) yang pernah dibentang PAS di Parlimen tahun lepas.

Sudah maklum, DAP merupakan antara parti yang paling keras menentang Rang Undang-undang 355 sejak ia dibentangkan oleh Presiden PAS itu di Dewan Rakyat.

Malah, DAP juga turut menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam khususnya masyarakat Cina berkenaan pindaan RUU 355 dengan mendakwa Rang Undang-Undang itu akan memberikan impak kepada kehidupan orang bukan Islam.

Sedangkan pindaan Akta 355 ini adalah hanya untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi kesalahan Jenayah Syariah yang membabitkan orang Islam sahaja. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *