Wan Azizah tak berani balik Permatang Pauh kerana ada Afnan dan Datuk Zaidi

Nampaknya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berani balik ke Permatang Pauh apabila beliau dikatakan akan bertanding di Pandan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada 9 Mei ini

Menurut sumber dalaman PKR, Wan Azizah akan bertanding di Pandan bagi menggantikan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang memberitahu bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

“Manakala kerusi Lembah Pantai akan ditandingi Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi PKR) yang bakal ditinggalkan penyandang sebelum ini iaitu Nurul Izzah,” kata sumber itu dalam satu kenyataan.

Rafizi sebelum ini pun pernah memaklumkan kerusi Pandan bakal ditandingi sama ada oleh Wan Azizah atau Nurul Izzah Anwar.

Dengan kenyataan ini, nama Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR kembali disebut-sebut apabila dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang kini dimiliki Wan Azizah, dalam pilihan raya umum kali ini.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pernah mengulas mengenai stratergi PKR yang didakwa akan meletakkan Nurul Izzah di kerusi tersebut pada PRU-14 nanti.

Bagaimanapun, beliau berkata, strategi PKR meletakkan Nurul Izzah sebagai calon di Permatang Pauh langsung tidak memberi tamparan besar kepada UMNO dan juga pengundi di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja calon yang akan bertanding di kerusi tersebut.

Kata Mohd Zaidi, beliau sedar kerusi Permatang Pauh adalah kerusi panas yang sering menjadi tumpuan setiap kali menjelang pilihan raya.

“Justeru, kita sudah melaksanakan gerak kerja yang lebih komprehensif bagi membuktikan banyak perubahan dan pembangunan yang dibawa UMNO di Permatang Pauh berbanding peranan Ahli Parlimennya sendiri.

“Kita tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat. Malah, sebaik sahaja PRU-13 selesai persiapan untuk berdepan dengan PRU-14 sudah lama bermula dan kita berjaya menambahbaik kekurangan serta memperbaiki kesilapan lalu,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh lima tahun membuat persiapan, pihaknya melihat banyak perubahan dibawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh dan apa yang penting ia diterima penduduk kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa laluan untuk PKR mengekalkan kerusi Permatang Pauh tidak lagi mudah apatah lagi selepas berlaku kecelaruan selepas PAS mengundur diri dari pakatan pembangkang,” katanya.

Malah, PAS baru-baru ini juga telah mengumumkan pencalonan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden di Parlimen Permatang Pauh. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *