Zairil dakwa BN akan kalah kerana kos sara hidup tinggi

Isu peningkatan kos sara hidup diakui menjadi kebimbangan rakyat. Namun ia tidak harus dilihat sebagai fenomena yang cuma berlaku di negara ini sahaja kerana ia merupakan fenomena global mencabar yang juga dialami oleh negara-negara lain di seluruh dunia.

Bagaimanapun, kerajaan tetap memberi perhatian dengan mewujudkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang merangka macam-macam usaha dan strategi untuk mengurangkan kesannya terhadap rakyat.

Ini boleh dilihat antara program terbaharu adalah Jualan Sentuhan Rakyat yang memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barang keperluan harian pada harga murah dan berkualiti.

Namun, Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Zairil Khir Johari mendakwa UMNO-Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam pilihan raya kali ini kerana kos sara hidup tinggi.

Pemimpin muda DAP yang penuh dengan kontroversi itu mendakwa UMNO-BN akan kehilangan undi kononnya akibat kegagalan mereka menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup.

Zairil berkata demikian ketika mengulas kenyatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbuddin Yahya yang menyatakan bahawa pengundi masyarakat Melayu yang menyokong pembangkang akan kembali kepada UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada 9 Mei nanti.

Wakil rakyat DAP itu berkata, kenyataan Shabudin itu kononnya membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO tidak prihatin dengan realiti sebenar yang dihadapi oleh rakyat.

Malah, untuk menggambarkan kenyataanya itu benar, Zairil juga memetik kenyataan pengarah urusan rantaian pasar raya Mydin, Dato’ Wira Ameer Ali Mydin, di BFM baru-baru ini yang menyatakan bahawa sektor runcit di Malaysia dijangka berdepan masa sukar.

“Merujuk 150 item asas di kedai-kedainya, beliau mendedahkan bahawa harga jualan telah naik lebih daripada 14 peratus dalam tempoh lima tahun yang lalu.

“Ini termasuk barangan isi rumah asas seperti kubis yang meningkat 29 peratus, ikan kembung hitam (19.5 peratus), sos cili Maggi (38.8%) dan sardin jenama Ayam (30.6 peratus).

“Ini jauh berbeza berbanding statistik indeks harga pengguna rasmi yang diterbitkan oleh Kerajaan,” kata Zairil.

Seperti biasa, sikap pakatan pembangkang akan kaitkan peningkatan kos sara hidup ini akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Zairil berkata, kenaikan kos sara hidup ini juga akibat pelaksanaan GST pada tahun 2015, pemansuhan subsidi bagi petrol, gas, minyak masak dan gula, serta kelemahan ringgit ekoran skandal kewangan 1MDB.

“Dengan keadaan sebenar ekonomi yang mengerikan ini, adalah sangat mengejutkan apabila Shabudin dan pemimpin UMNO lain berani menganggap bahawa mereka akan memenangi lebih banyak undi, terutamanya daripada orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk sebahagian besar B40.

“Sebenarnya, adalah hampir pasti bahawa pengundi secara besar-besaran akan menjauhi BN yang jelas telah menghampakan mereka, dan sebaliknya memilih kerajaan baru yang komited untuk menangani isu sara hidup semua rakyat Malaysia,” katanya.

Untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai subsidi. Pelbagai subsidi disediakan oleh kerajaan adalah bukti kerajaan BN sentiasa prihatin dalam mendengar segala keperluan untuk meringankan bebanan rakyat.

Ini dapat dilihat peruntukan subsidi meliputi pelbagai sektor seperti barangan, elektrik, tol, kesihatan, pendidikan, perumahan disediakan semata-mata untuk kesejahteraan rakyat. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *